Salam Sejahtera Ibu-ibu Sekalian.
Penulis Artikel ini iaitu Puan Zunaidah Mohd Marzuki. Beliau adalah seorang pensyarah Jabatan Quran dan Sunnah, UIAM, Gombak. Beliau sekarang sekarang sedang melanjutkan pelajaran sebagai seorang pelajar PhD. Beliau merupakan seorang ibu kepada tiga orang putera, dan juga mempunyai pengalaman menyusukan semua cahaya matanya dengan penyusuan susu ibu.
Harap Ibu-Ibu dapat inspirasi daripada artikel ini :-)
Untuk pengetahun semua, artikel sebenar ini telah diterbitkan di majalah Solusi (ms 84-85).
Penulis Artikel ini iaitu Puan Zunaidah Mohd Marzuki. Beliau adalah seorang pensyarah Jabatan Quran dan Sunnah, UIAM, Gombak. Beliau sekarang sekarang sedang melanjutkan pelajaran sebagai seorang pelajar PhD. Beliau merupakan seorang ibu kepada tiga orang putera, dan juga mempunyai pengalaman menyusukan semua cahaya matanya dengan penyusuan susu ibu.
Harap Ibu-Ibu dapat inspirasi daripada artikel ini :-)
Untuk pengetahun semua, artikel sebenar ini telah diterbitkan di majalah Solusi (ms 84-85).
Gambar hanya illustrasi semata-mata. Tiada berkaitan dengan artikel tersebut. |
Indahnya Syariat Penyusuan Ibu Susuan
Zunaidah Binti Mohd Marzuki
Penyusuan ibu susuan adalah suatu pilihan yang kadang-kadang menjadi satu keperluan atau kemestian. Ada ibu-bapa yang mempunyai ibu susuan untuk anak mereka kerana ibunya sendiri mempunyai masalah dalam penyusuan seperti sakit atau kekurangan susu. Ada juga ibu meninggal sewaktu bersalin, lalu anaknya disusui ibu susuan.
Kebanyakan bayi berumur dua tahun kebawah dapat menerima susu formula selain susu ibu sendiri. Namun ada bayi yang alah dengan susu formula sehingga menyebabkan sembelit, cirit-birit, alahan kulit dan sebagainya.
Ada juga bayi yang alah dengan laktosa dalam susu formula.Justeru, terdapat pelbagai pilihan susu formula dipasaran. Susu formula ramuan khas, susu tanpa laktosa, susu berasaskan soya, berasaskan susu lembu dan berasaskan susu kambing.
Namun susu ibu adalah pilihan terbaik untuk bayi, samada susu ibu sendiri atau susu ibu susuan. Penyusuan ibu susuan adalah alternatif terbaik bagi ibu-ibu yang mempunyai masalah dalam penyusuan. Al-Quran dan Hadis telah memberikan panduan berkenaan ibu susuan. Sirah Rasulullah SAW boleh dijadikan pedoman.
Penyusuan Rasulullah SAW
Orang pertama yang menyusukan Rasulullah SAW selepas ibunya ialah Thuwaybah. Dia adalah hamba Abu Lahab dengan susu bayinya yang bernama Masruh. Sebelum itu dia juga telah menyusui Hamzah bin Abd Al-Muttalib dan selepasnya dia menyusui Abu Salamah bin Abdul Asad al-Makhzumiy.
Menurut adat masyarakat Arab setempat ketika itu, mereka akan mencari perempuan-perempuan yang menyusui anak-anak mereka dengan tujuan menghindarkan anak tersebut daripada dijangkiti penyakit-penyakit setempat. Disamping itu juga, ia bertujuan melatih anak-anak mereka mahir dengan Bahasa Arab jati sewaktu masih kecil lagi.
Setelah itu, Rasulullah SAW disusui oleh Halimah Binti abu Dhu’ayb isteri alHarith bin Abdul Uzza. Dia lebih dikenali sebagai Halimah As-Sa’diah daripada keluarga Bani Sa’ad bin Bakr. Dengannya, Rasulullah SAW mempunyai adi-beradik sesusuan iaitu Abdullah bin Alharith, Anisah Binti Alharith, Hudhafah atau Judhamah binti alHarith-iaitu al-Shayma, gelaran yang lebih dikenali dari nama asalnya-.
Penyusuan Dalam Hadis
Hadis-hadis berkenaan penyusuan (Ar-Rado’ah الرضاعة) sangat banyak dan merangkumi pelbagai aspek. Jika kita membaca huraian kepada kitab-kitab Hadis seperti Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan An-Nasai, Muwatta’ Malik dan sebagainya, kita akan dapati isu penyusuan ibu susuan dikupas dengan begitu teliti oleh para ulama.
Contohnya, dalam buku “Takmilah Fathul Mulhim Bi Syarhi Sahih Muslim” iaitu kupasan terhadap hadis-hadis dalam Sahih Muslim. Buku karangan Syeikh Muhammad Taqi Usmani, seorang ulama kontemporari Pakistan telah memberi kupasan berkenaan makna penyusuan, hikmah penyusuan, hak-hak anak yang disusui, kadar minimum penyusuan yang melibatkan hukum ibu susuan, tempoh penyusuan dan sebagainya.
Ibu Susuan suatu Keperluan
Seperti yang dinyatakan, ibu susuan menjadi suatu keperluan bagi sesetengah bayi yang hanya boleh menerima susu ibu. Bayi-bayi seperti ini lazimnya ada alahan atau masalah dengan susu formula.
Antara faktor bayi memerlukan ibu susuan adalah kerana ibunya meninggal, atau sakit, atau kekurangan susu. Ada juga sesetengah bayi yang menghidap penyakit seperti kanser yang amat memerlukan susu ibu. Bayi yang menghadapi masalah-masalah diatas tidak dapat tidak, perlu bergantung kepada susu ibu susuan samada dalam bentuk EBM(expressed breast milk atau susu perahan) atau terus menyusu dari ibu susuan.
Manakala sesetengah ibu juga perlu mencari anak susuan kerana mereka mempunyai lebihan stok susu perahan yang dibekukan didalam peti sejuk. Susu ibu yang diperah dengan tangan atau dipam dengan pam susu yang disimpan didalam peti sejuk mempunyai jangka hayat sehingga 6 bulan bergantung kepada suhu peti sejuk, atau paling lama sehingga setahun.
Ibu-ibu yang mempunyai susu yang banyak melebihi keperluan anaknya sendiri perlu mencari anak susuan bagi mengelakkan pembaziran .Katakan susu perahan seorang ibu setiap hari sekitar 80 oz( 1oz bersamaan 30ml), dan keperluan anaknya sekitar 20-40 oz sehari, tentulah susu ibu tersebut berbaki lagi.
Susu yang berbaki ini kadang-kadang apabila disimpan akan memenuhkan peti sejuk sehingga tidak muat atau tamat jangka hayat. Jika tidak mencari anak susuan, maka susu itu akhirnya terpaksa dibuang. Ada juga sesetengah ibu menggunakan susu lebihan sebagai siraman tanaman, atau mandian susu atau jadikan sabun susu untuk anaknya.
Hikmah penyusuan ibu susuan
Syariat penyusuan ibu susuan yang terdapat garis panduannya dalam Al-Quran, Hadis dan huraian-huraian ulama amat indah untuk diamalkan. Indahnya syariat ini dapat dirasai, dihayati dan disyukuri oleh ibu-ibu dan bayi-bayi yang terlibat.
Penyusuan ibu susuan dapat membantu menyelesaikan masalah bayi-bayi yang memerlukan susu ibu ,yang mempunyai alahan dengan susu formula atau susu segar, justeru dapat membantu perkembangan bayi agar sihat dan kuat.
Penyusuan ibu susuan juga membantu merungkaikan masalah ibu-ibu yang mempunyai susu melebihi keperluan anak sendiri, justeru dapat mengelakkan pembaziran.
Penyusuan susu ibu susuan juga membuatkan sebuah keluarga dapat berkenalan dengan sebuah keluarga yang lain seterusnya membina jalinan hubungan persahabatan, persaudaraan dan kekeluargaan. Justeru, hubungan ini dapat melahirkan masyarakat yang saling kenal dan bekerjasama.
Sebagai masyarakat yang sudah maju dalam ilmu pendidikan, masyarakat seharusnya menggalakkan penyusuan susu ibu. Ibu-bapa seharusnya tidak perlu ragu-ragu dengan penyusuan susu ibu susuan. Apa yang penting, adalah memahami hukum-hakam berkenaannya dan menjaga hubungan susuan dengan baik.
Harap Ibu-Ibu sekalian dapat manfaat dari perkongsian ini.
Assalamualaikum.
No comments:
Post a Comment